Fahmi Fadzil calonkan diri bertanding Presiden KLFA
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Menerusi video dimuat naik di TikTok, Fahmi turut mengumumkan senarai barisan pasukannya yang terdiri daripada Pengarah KL United Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar sebagai calon timbalan presiden KLFA.
Beliau turut menamakan beberapa individu antaranya Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Razlan Rafii sebagai Naib Presiden KLFA.
“Dengan ini mengumumkan bahawa saya ingin menawarkan diri sebagai calon Presiden KLFA.
“Hasrat kami untuk martabatkan kelab-kelab gabungan, memastikan KLFA diurus dengan lebih baik, lebih mapan supaya bola sepak di Kuala Lumpur lebih maju,” katanya.
Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meletak jawatan Mac lepas.
Kongres pemilihan baharu jawatankuasa KLFA dijadual berlangsung 7 September ini.
BACA JUGA Jangan beri tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah, Sultan Nazrin tegur siapa?
Â