Mahiaddin pecah rekod, mungkin bekas PM pertama ada lebih 300 laporan polis
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mungkin menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang dilapor ke polis lebih 300 kali untuk satu-satu isu.
Ia berikutan kes beliau menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) dengan memetik nama Yang di-Pertuan Agong ke 16 ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Menurut laporan, seluruh penduduk Bentong, Pahang akan membuat kira-kira 300 laporan polis terhadap Mahiaddin berhubung isu tersebut.
Penghulu Bentong 1, Muhammad Azizi Khalid berkata, laporan polis pertama telah dibuat olehnya hari ini sebagai pencetus kepada laporan-laporan polis yang akan dibuat oleh setiap wakil kampung di daerah itu.
“Laporan ini adalah sebagai permulaan dan selepas ini setiap kampung akan membuat kira-kira 13 laporan polis dengan dijangka kira-kira 300 laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.
“Kami memohon supaya pihak polis membuat siasatan di atas kenyataan ceramah bekas Perdana Menteri kelapan itu dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.
Daerah Bentong mempunyai kira-kira 60 buah kampung termasuk Kampung Baru Cina dan Kampung Orang Asli yang difahamkan akan membuat laporan polis secara berperingkat.
Penduduk percaya, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu dalam ceramahnya seolah-olah mengatakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu gagal menghormati peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya percaya bahawa ucapan Mahiaddin itu bersifat fitnah, menghasut serta dengan jelas menyentuh isu 3R,”katanya.
Buat masa ini Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 30 laporan polis telah diterima berkaitan ucapan Mahiaddin.
BACA JUGA Dah terbongkar Mahiaddin sebenarnya tiada ‘jumloh’ SD mencukupi jadi PM