Pelaburan RM29.2 bilion oleh anak syarikat Amazon di Malaysia bukti keyakinan terhadap ekonomi MADANI

Perdana Menteri menyambut baik pengumuman Amazon Web Services (AWS), anak syarikat Amazon.com Inc untuk melancarkan AWS Wilayah Asia Pasifik yang berpusat di Malaysia dan merancang pelaburan kira-kira AS$6.2 bilion (kira-kira RM29.2 bilion) di negara ini sehingga 2038.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan jangka panjang oleh AWS menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan dasar Ekonomi MADANI.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan AWS merupakan antara pelaburan terbesar yang dibuat oleh syarikat teknologi global di Malaysia.

“Ini adalah komitmen dan pelaburan jangka panjang yang dirancang oleh AWS berjumlah RM29.2 bilion dan antara pelaburan terbesar oleh syarikat teknologi global di Malaysia.

“Ini susulan beberapa pelaburan lain yang telah diumumkan sejak Disember 2023 oleh peneraju teknologi global seperti Nvidia, Google, Microsoft, Infenion dan banyak lagi.

“Pelaburan-pelaburan ini adalah pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan MADANI dalam mewujudkan dan merangka persekitaran pelaburan yang menarik, terbuka dan telus,” katanya dalam satu video dimuat naik di X.

Sebagai sebahagian daripada hubungan baharu ini, Anwar berkata AWS telah menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi awan dalam sektor awam.

Daripada pengumuman oleh AWS, beliau berkata syarikat teknologi awan global itu akan melabur dalam pembinaan pusat data fizikal di Malaysia, menjadikan negara antara 34 wilayah dalam peta infrastruktur global Amazon.

“Lebih 3,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan diwujudkan secara langsung daripada pembinaan pusat data baharu ini.

“Pekerjaan ini yang merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, kejuruteraan, telekomunikasi dan bidang lain dalam ekonomi kita, akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan bernilai tinggi AWS,” kata beliau.

BACA JUGA Jangan beri tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah, Sultan Nazrin tegur siapa?