KKM sahkan tiada kes mpox baharu di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan setakat ini tiada kes jangkitan mpox baharu membabitkan rakyat Malaysia.

Kata KKM, sehingga kini hanya sembilan kes jangkitan mpox yang berlaku dalam negara.

Kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir dilaporkan pada bulan November 2023. 

Kesemua kes mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko dan kini telah pun sembuh dan tiada kematian dilaporkan.

 “Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh pihak KKM, tiada kes mpox baharu yang dilaporkan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus. Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox. 

Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim. 

Gejala mpox ialah demam berserta ruam “maculopapular rash” atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea. 

Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima (5) hingga ke 21 hari. 

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.

“Individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko dan bergejala dinasihatkan agar menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran. 

“Pengamal perubatan yang merawat kes disyaki dan kes yang disahkan perlu melaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran agar siasatan, langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan,” kata kenyataan itu lagi.

BACA JUGA AMANAH beri laluan kepada BN, tapi agihan kerusi PRU16 perlu diputus semula