Menang pingat emas, aksi atlet takwando Fu Ceen terus sujud syukur curi tumpuan
Aksi spontan seorang atlet taekwando dari Terengganu, Fu Ceen Put Thai yang tiba-tiba sujud syukur di gelanggang ketika memenangi perlawanan, mencuri tumpuan ramai.
Ia adalah satu kenangan manis untuk Fu Ceen apabila berjaya meraih emas pada penampilan sulung di SUKMA dalam acara kyorugi kategori lelaki bawah 63kg.
Namun dalam satu rakaman video tular yang dirakam seorang individu bernama timothyzxhra, aksi spontan atlet tersebut mengejutkan ramai yang sehingga kini video itu mendapat lebih 1.5 juta tontonan.
Dia dilihat mengangkat tangannya seperti berdoa mengucapkan syukur sebelum melakukan sujud atas gelanggang.
Difahamlan, Fu Ceen yang kini memilih nama Islamnya, Fathurrahman rupa-rupanya telah memeluk Islam lebih awal iaitu pada Disember tahun lepas tanpa pengetahuan sesiapa termasuk ibunya.
Dia telah bernazar untuk sujud syukur di atas gelanggang sekiranya memenangi pingat emas pada SUKMA Sarawak 2024.
“Saya telah mula memeluk Islam pada Disember tahun lepas,” katanya memetik laporan stadium astro.
Sementara itu Berita Harian melaporkan, atlet berusia 21 tahun itu sebenarnya tertarik dengan kehidupan yang ditampilkan pelakon dalam cerita “Cinta Si Wedding Planner” di mana pelakon utamanya Adi Putra dan Mira Filzah sekali gus mengambil keputusan untuk mendalami Islam.
Katanya, dia bertindak untuk merahsiakannya memeluk Islam daripada pengetahuan ahli keluarga kerana mahu menunggu masa bersesuaian selain tidak mahu ibunya sedih dengan keputusan itu.
“Bila ibu mengetahui saya memeluk Islam, sudah pastinya terkejut dan tidak mahu bercakap. Namun, saya bawanya pergi berjalan dan memujuknya secara perlahan-lahan supaya boleh terima.
“Saya memang merancang untuk melakukan sujud syukur jika memenangi emas dan itu mungkin masa bersesuaian memberitahu ibu.
“Ibu pada peringkat awal tidak boleh terima kerana mungkin terkilan bahawa dia mengetahui lambat berbanding individu lain,” katanya.
BACA JUGA Penganalisis pun terkejut, akui Malaysia sudah kembali jadi ‘syurga’ pelabur asing