PRK Mahkota: Ini sebab mengapa Ahmad Maslan harap jentera BN bergerak lebih aktif

Timbalan Ketua UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap jentera Barisan Nasional (BN) akan digerakkan lebih aktif bertujuan menangani isu tempatan dan nasional dengan lebih berkesan di media sosial, dalam usaha meraih sokongan pengundi di PRK DUN Mahkota.

Beliau menyifatkan, cabaran terbesar yang berpotensi menggugat peluang calon BN pada PRK berkenaan adalah capaian kepada media sosial.

”Kami tiada cabaran prasarana, pembangunan semua sudah lengkap di situ (DUN Mahkota). Satu lagi adalah cabaran media sosial kerana kawasan tersebut lengkap dengan segala fasiliti yang memungkinkan media sosial mudah menembusi.

”Ini memang terbuka dengan kecaman dan serangan media sosial,” katanya, lapor FMT hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya DUN berkenaan turut memaklumkan bahawa jumlah pengundi yang ramai, faktor komposisi kaum serta media sosial antara tiga cabaran utama perlu ditangani jentera BN demi mempertahankan kerusi tersebut.

PRK Mahkota diadakan susulan penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita UMNO Kluang, menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Mahkota pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing 14 dan 24 September.

BACA JUGA Puak khawarij sulitkan Islam yang sifatnya mudah