Cukup hingga hujung tahun ini, Malaysia tidak alami krisis bekalan insulin

Malaysia tidak mengalami krisis kekurangan bekalan insulin untuk pesakit, dan bekalan semasa mencukupi hingga hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya sudah pun mula mencari alternatif lain, di samping berusaha mendapatkan pembekal baharu secepat mungkin.

“Saya tidak percaya kita akan mengalami krisis, tetapi memang kita sudah ada ada alternatif lain, dan kita akan dapatkan pembekal lain secepat mungkin,” katanya kepada media pada majlis menandatangani MoU MIH Megatrends 2024 di Putrajaya hari ini.

Beliau menambah kerajaan akan menyegerakan perolehan bekalan insulin berkenaan dalam tempoh 60 hari berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Minggu lalu, KKM telah menjelaskan bahawa gangguan bekalan insulin untuk manusia di fasiliti kendaliannya baru-baru ini, adalah disebabkan isu pengeluaran.

Sehubungan itu, dalam memastikan rawatan pesakit tidak terganggu, ia telah melaksanakan beberapa langkah, termasuk meningkatkan penggunaan insulin analog dan terapi oral, sebagaimana ditetapkan menerusi penilaian klinikal doktor yang merawat setiap pesakit.

Dr Dzulkefly menafikan dakwaan kekurangan bekalan dan menjelaskan bahawa isu itu berpunca daripada “kewajipan kontrak” salah satu pembekal kementerian.

“Satu daripada dua pembekal kami telah bergelut untuk memenuhi kewajipan kontrak mereka, tetapi kita mempunyai penyelesaian alternatif,” katanya dan menambah bahawa pihak kementerian sedang berbincang dengan pembekal semasa di Johor dan satu lagi pembekal di India.

“.. apa pun, kita tidak mahu kekurangan ini menjejaskan penjagaan pesakit. Jika ada masalah kekurangan bekalan (yang) saya tidak dengar perkara itu buat masa ini.

“Setahu saya, tiada pesakit yang hadapi masalah untuk dapat bekalan insulin,” katanya, lapor Bernama.

Beliau juga berkata, pembekal luar negara yang berminat perlu mengemukakan dokumen mereka kepada KKM, dan pihak kementerian akan mempercepatkan proses pendaftaran melalui Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

BACA JUGA Kes lucah Ebit Lew: Saksi hantar gambar payudara secara tidak rela