Dah digelar ‘soalan syaitan’, Abdul Hadi gagal perjelas status korban Memali
Tergamak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggelar hal yang ditanyakan wartawan berkenaan tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai ‘soalan syaitan’ selepas bersekutu bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Peristiwa Memali yang menelan korban 14 orang penduduk kampung tu pernah dianggap Mahathir pada 2018 sebagai ‘mati katak’ sebelum membuat permohonan maaf apabila dikecam terutama dari waris mangsa.
“Sampai sekarang Abdul Hadi Awang dan sekalian tentera ‘un’ tak dapat jawab soalan ini.
“Mangsa Memali yang terbunuh itu mati katak atau mati syahid?
“14 penduduk Memali dan 4 anggota polis, mana satu mati katak dan mana satu mati syahid?” soal pemerhati politik, Amer Hamzah merujuk kepada peristiwa yang mengorbankan Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya itu.
Tahun lalu, dalam satu ceramah kempen Perikatan Nasional (PN), Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menempelak soalan yang diajukan wartawan mengenai Memali sebagai “soalan syaitan”.
Walau bagaimanapun, pada 2017, Hadi berterima kasih kepada individu yang bertanyakan soalan berhubung Memali dalam forum ‘Nothing To Hide 2.0 Bersama Mahathir’.
Menurut Hadi ketika itu, selepas kejadian Memali, Pas mengisytiharkan mereka yang terbunuh sebagai mati syahid kerana mempertahankan Islam.
Mengulas lanjut, Amer Hamzah berpendapat peristiwa berdarah di Memali adalah akibat Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981.
“Mereka mati kerana mempertahankan Amanat Hadi yang mengatakan jihad melawan kerajaan yang menjunjung Perlembagaan kafir.
“Peliknya, sekarang Hadi sendiri menjunjung Perlembagaan yang dikafirkannya dulu,” katanya menerusi platform X.
Melalui ceramah Abdul Hadi pada 43 tahun lalu itu, antara ayat yang dikatakan bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu ialah;
“Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan.
“Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka.
“Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka. Percayalah saudara-saudara sekalian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini, kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.
“Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku.”
BACA JUGA Mufti pun yakin pendirian PMX mengenai Palestin bukan lakonan