Nahas tanah jerlus: Misi SAR diteruskan hingga mangsa dijumpai
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akan diteruskan sehingga mangsa dijumpai.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman (gambar atas) berkata, pencarian di lokasi kejadian menggunakan teknik ‘flushing’ dan ‘jetting’ di beberapa lurang kumbahan dengan tumpuan di lurang kumbahan satu di hadapan Wisma Yakin.
“Kaedah ‘jetting’ dengan menembak air bertekanan tinggi, difokuskan di lurang kumbahan di Wisma Yakin.
“Ini kerana pada awal pagi tadi, kita telah menggunakan kamera ‘crawler’ dalam paip pembetungan di situ hingga jarak empat meter dan nampak serpihan objek batu bata keras.
“Maka dari pagi tadi, kita secara berterusan menggunakan teknik ‘jetting’ untuk memecahkan serpihan objek itu supaya apabila ia pecah, air akan mengalir ke bawah dan diharap apa juga objek termasuk tubuh mangsa (jika ada) akan melepasi objek yang menahannya,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Beliau turut memaklumkan pencarian dengan jarak dari lokasi kejadian kira-kira 50 meter pada pagi tadi mendapati wujud serpihan objek di dalam lurang tersebut.
Menurutnya, teknik ‘jetting’ yang digunakan itu berupaya melepaskan tekanan air hingga 200 bar atau 3,000 paun per inci persegi (psi).
Jelasnya, teknik ‘flushing’ pula dijalankan dari jam 2 hingga 5 pagi tadi di kesemua 10 lurang kumbahan dengan sekurang-kurang tiga kali ‘flushing’ dilakukan bagi setiap lurang kumbahan itu.
Katanya, terdahulu pasukan SAR menggunakan teknologi kamera melalui dua teknik, iaitu ‘push rod’ dan ‘crawler’ yang dimasukkan ke dalam paip pembetungan untuk membantu kerja pencarian.
Menjawab soalan pemberita, beliau memberitahu penugasan dalam operasi SAR yang dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur setakat ini menggunakan kepakaran sepenuhnya dari negara ini.
Pada 23 Ogos lalu, mangsa Vijayaletchumi, 48, secara tiba-tiba terjatuh dalam kejadian tanah jerlus ketika berjalan dari arah Flat Selangor Mansion menuju ke arah Wisma Yakin, pada kira-kira jam 8.25 pagi.
Mangsa yang berasal dari Andhra Pradesh, India, bersama keluarganya sepatutnya kembali ke negara asal, kelmarin.
Ekoran mangsa yang masih belum dijumpai, Jabatan Imigresen melanjutkan visa Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk tempoh sebulan kepada empat ahli keluarga mangsa.
BACA JUGA Kes lucah Ebit Lew: Saksi hantar gambar payudara secara tidak rela