PuTERA35 sudah kenal pasti 132 inisiatif, ini tiga keadaan semasa sosioekonomi Bumiputera

Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) merupakan satu usaha strategik dan berani untuk mengukuhkan kedudukan sosioekonomi Bumiputera.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cabaran dan realiti masa kini memerlukan pendekatan dan strategi yang lebih inovatif dan menyeluruh walaupun pelbagai program pembangunan telah dijalankan selama lebih enam dekad.

Rafizi Ramli

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan turut berkongsikan tiga keadaan semasa sosioekonomi Bumiputera yang memerlukan perhatian segera, iaitu:

1) Dalam sektor korporat, Bumiputera hanya mewakili 7% daripada syarikat tersenarai awam pada tahun 2022, iaitu sebanyak 62 syarikat daripada 945 syarikat di Bursa Malaysia.

2) Dari segi penyertaan tenaga kerja, kadar pengangguran Bumiputera masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia 2022 mencatatkan bahawa 387,800 Bumiputera menganggur, mewakili 61.5% daripada keseluruhan penganggur di negara ini.

Lebih merisaukan, 70.8% daripada mereka yang menganggur adalah belia berumur antara 15 hingga 30 tahun.

3) Kadar kemiskinan Bumiputera masih tinggi berbanding kaum lain.

Pada tahun 2022, 415,400 isi rumah Bumiputera (7.9%) masih hidup dalam kemiskinan, berbanding 1.9% isi rumah Cina dan 5.4% isi rumah India.

Mengulas lanjut, Rafizi menerusi hantaran di platform X berkata, isu-isu tersebut hanyalah sebahagian daripada cabaran yang kompleks dan mendalam, yang memerlukan tindakan segera.

Sehubungan itu, jelasnya, penetapan hala tuju agenda pembangunan Bumiputera perlu bersifat holistik dengan mengambil kira cabaran semasa di peringkat domestik dan global.

Mengenai PuTERA35, katanya, ia dibangunkan berdasarkan tiga teras utama dengan disokong oleh pemacu-pemacu strategik.

Menurutnya,sebanyak 132 inisiatif telah dikenalpasti dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

Untuk maklumat lanjut mengenai PuTERA35, orang ramai boleh melayari pelan tindakan penuh di https://putera35.ekonomi.gov.my.

BACA JUGA Rupanya ini harga Musang King di China