Tergamak persenda anggota SAR, mahu saman kerajaan ketika usaha giat cari mangsa tanah jerlus

Wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dilapor masih gagal ditemui selepas lebih 72 jam berlalu.

Namun, wujud netizen terutama dalam media berbahasa Inggeris yang tergamak mempersenda operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selain memberi cadangan tidak masuk akal.

Antaranya, seorang pembaca di sebuah portal berita menyarankan agar unit anjing pengesan (K9) digunakan yang kemudian disambut secara sinis oleh individu lain.

“K9 adalah haram. Mereka (Pasukan SAR) tidak menggunakannya,” tulis Wayne Nell.

Cadangan ‘bernas’ supaya khidmat K9 diguna dilihat merepek ketika tragedi pada pagi 23 Ogos lalu menyaksikan mangsa terjatuh ke lubang pada kedalaman kira-kira setinggi bangunan empat tingkat dan dipercayai dihanyutkan arus deras dari ruang saliran kumbahan bawah tanah.

Malah, lebih melampau apabila ada yang tergamak mengecam bahkan mahu mengenakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan ekoran kejadian yang menimpa mangsa Vijayaletchumy, 48, itu.

Antaranya, Sukumaran V C Karan yang menulis, “What about her life? So innocent. Unaware! I would sue the bloody government.”

Tidak kurang juga yang mempersoal tindakan sebuah restoran mamak yang memberikan bekalan nasi kepada anggota SAR yang terlibat dalam operasi berisiko tinggi itu.

Komentar mereka amat biadab apabila tergamak berkata, tidak perlu diberi pelbagai sumbangan kerana pasukan terbabit sudah pun dibayar gaji.

Untuk rekod, operasi SAR melibatkan kerahan ratusan anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi keselamatan serta pihak berkuasa.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Indah Water Konsortium (IWK).

Terkini, teknik ‘flushing’ digunakan di lurang lima dan enam iaitu berdekatan Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta berdekatan Bulatan Kinabalu.

Usaha itu dilakukan selepas mendapati terdapat arus di kedua-dua lokasi terbabit agak perlahan dipercayai disebabkan wujudnya sekatan atau reruntuhan puing.

BACA JUGA Gambar kereta mewah penceramah ajak mati syahid jangan takut raja tular kembali