PH Johor akur BN calon Mahkota, adakan mesyuarat bersama
Atas sifat taat dan menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), pimpinan PH Johor bersedia memberi laluan kepada calon UMNO / Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRK DUN Mahkota nanti.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan selepas perbincangan penyelarasan bersama PH Johor dan UMNO/BN telah diadakan di rumah Menteri Besar Johor yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
”Alhamdulillah, perbincangan yang mesra dan berterus terang serta terbuka dengan semua pihak memberikan pandangan.
”Kesimpulan dari perbincangan tersebut akan dapat dilihat hasil kerjasama semua untuk memenangi PRK DUN Mahkota.
”Walaupun semua tahu perbandingan keputusan PRN Johor pada Mac 2022 dengan PRU15 sangat berbeza, tetapi atas sifat taat dan menghormati keputusan Majlis Presiden PH, maka kami pimpinan PH Johor bersedia memberi laluan calon UMNO/BN bertanding dalam PRK pada 28 September 2024 nanti,” katanya di Facebook.
Aminolhuda memaklumkan, dalam perbincangan itu, beliau mengetuai perwakilan PH yang terdiri daripda YB Andrew Chen Kah Eng , YB Chong Shing dan Alen daripada DAP.
”Daripada PKR pula adalah Md Ysahrudin Kusni, Mr Gopal dan saudara Hamid manakala Dr Zuhan Zain dan Muhammad Taqiuddin B Cheman daripada AMANAH.
”Turut sama dalam perbincangan tersebut adalah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin, Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, Setiausaha UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan kepimpinan BN Johor,” katanya.
PRK Mahkota diadakan susulan penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita UMNO Kluang, menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Mahkota pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing 14 dan 24 September.
BACA JUGA Tak sangka emoji ketawa rupanya ‘kenyangkan’ pembangkang
Â