Selepas Musang King, ini reaksi Mohamad tentang eksport durian kampung ke China

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan teliti bersama wakil syarikat dari China bertujuan membolehkan pekebun durian kecil-kecilan turut menikmati hasil pulangan eksport raja buah tersebut.

Ini kerana katanya, beliau menyasarkan Malaysia mengeksport durian kampung ke China, selepas dua kargo durian premium itu telah berjaya dihantar ke negara berkenaan.

“Dalam perbincangan… saya minta bukan hanya durian premium tetapi termasuk durian kampung.

”Mereka (syarikat China) sudah kaji supaya kita letakkan kategori kedua, kalau durian kampung dapat dipasarkan mungkin harganya sedikit berbeza, ia dapat membantu penanam durian skala kecil di kampung-kampung.

”Nak kata sudah lulus.. (ianya) belum, masih di peringkat perbincangan insentif, katanya lapor FMT.

Jika perancangan itu membuahkan hasil, Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan dipertanggungjawabkan menjadi ejen pengumpulan durian berkenaan sebelum dihantar ke China.

Semalam, Mohamad melancarkan jualan durian Malaysia di Sam’s Club dan Ole’ Supermarket bertempat di Shenzhen.

Menurut KPKM, semalam merupakan hari pertama penjualan raja buah itu di pasaraya berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, durian segar Malaysia berada dalam segmen buah premium di mana harga purata jualan durian segar Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada buah durian yang diimport daripada Filipina dan Thailand.

Untuk rekod, harga durian Musang King yang dijual di Shenzen adalah sekitar RM350 sebiji dan hanya dalam masa beberapa jam, kesemua stok telah habis terjual.

BACA JUGA PH Johor akur BN calon Mahkota, adakan mesyuarat bersama