Fahmi tak jadi bertanding Presiden KLFA, ini puncanya yang mengejutkan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan tidak akan bertanding untuk jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada pemilihan jawatankuasa baharu persatuan terbabit, 7 September depan.

Ia selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengekalkan keputusan Kabinet pada 2007 bahawa anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri tidak dibenarkan menjadi presiden bagi mana-mana persatuan sukan.

Serentak keputusan itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan mengumumkan penarikan dirinya dari bertanding.

“Maka saya sama seperti Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) umumkan bahawa saya tidak akan bertanding bagi jawatan Presiden KLFA.

“Berkuat kuasa serta merta, saya menarik diri dari bertanding sebagai calon Presiden KLFA,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau telah menghubungi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi mendapatkan nasihat dan panduan susulan keputusan tersebut.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, urusan pemilihan jawatankuasa baharu KLFA boleh dirujuk kepada pihak persatuan tersebut.

“Ia (keputusan ini) adalah berdasarkan pada asalnya satu keputusan Kabinet pada tahun 2007 dan yang diputuskan hari ini adalah kita teruskan dengan amalan tidak terlibat (dalam mana-mana persatuan sukan) dan tidak ada pengecualian,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden KLFA pada laman TikTok dan memperkenalkan barisan pasukannya, antaranya terdiri daripada Pengarah KL United Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar sebagai calon Timbalan Presiden KLFA.

Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meletak jawatan Mac lalu.

Kongres pemilihan baharu jawatankuasa KLFA dijadual berlangsung 7 September ini.

BACA JUGA Ada hari 1 sen pun tak dapat, pengayuh beca di Terengganu ‘rindu’ elaun bulanan