Tertimbus ketika mahu musnahkan bom: Ini keadaan terkini dua anggota polis
Persiapan pemusnahan bom di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak semalam menyaksikan dua anggota polis daripada Unit Pemusnah Bom dan Pensenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.
Kedua-dua anggota terbabit dilaporkan stabil, menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, mengalami patah tulang peha kiri dan satu tulang rusuk sebelah kiri.
Seorang lagi anggota Koperal Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.
Menurut Bahrin, siasatan awal mandapati nahas berlaku ketika unit pemusnah bom sedang membuat persiapan pemusnahan bom di lokasi.
“Akibat runtuhan tanah dinding lubang lokasi pemusnahan bom menyebabkan dua anggota unit berkenaan dari IPK Johor tertimbus dan mengalami kecederaan.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sebelum kejadian pihaknya IPD Kluang menerima panggilan dari orang awam pada jam 8.50 pagi melaporkan terjumpa bom lama di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak di sini.
“Susulan itu sepasukan polis dari unit terbabit ke lokasi bagi tujuan pemusnahan bom.
Bagaimanapun pada jam 2.20 petang Pusat Gerakan Daerah (DCC) IPD Kluang telah menerima panggilan MERS 999 dari anggota pondok polis Sri Lambak melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku di lokasi penemuan bom berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
BACA JUGA 9 kedai makan kotor lagi jijik, 160 notis langgar peraturan kebersihan dikeluarkan