Kenapa tak hapus Akta Hasutan ketika Mahiaddin PM, Hamzah dipersoal
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan pemimpin Bersatu mengapa mereka sepanjang menjadi kerajaan 17 bulan tidak permah menghapuskan Akta Hasutan.
Beliau menasihatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar tidak mendabik dada mendakwa sepanjang Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri, tidak pernah menggunakan Akta Hasutan.
Beliau berkata “hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih”, kerana 17 bulan itu sudah cukup untuk menghapuskan akta tersebut.
“Tidak payah dabik dada Mahiaddin tidak guna Akta Hasutan. Dia (Mahiaddin) jadi PM 17 bulan. Masa itu Hamzah menteri KDN. Kenapa tidak hapus Akta Hasutan?
“Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih. 17 bulan tidak cukup masa ke? Kalau salah, denda RM5,000 atau penjara 3 tahun. Bukan RM200 juta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyifatkan pendakwaan terhadap presiden mereka sebagai “bermotif politik, terpilih dan berniat jahat”.
Bersatu melabel Perdana Menteri serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai hipokrasi kerana dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948 dan berjanji untuk menghapuskan akta yang dikatakan undang-undang zalim dalam manifesto PH sekiranya membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.
“Ironinya, setelah menjadi kerajaan mereka telah menggunakan Akta Hasutan 1948 berulang kali secara zalim untuk menekan dan menindas lawan politik,” kata Hamzah.
Susulan itu Hamzah dibidas oleh Puad yang mempersoal mengapa Perikatan Nasional juga tidak buat perkara sama dengan memansuhkan akta tersebut ketika berkuasa.
Puad juga berkata, yang zalim adalah Mahiaddin kerana menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong, yang dianggapnya sebagai “sangat menghasut”.
“Hamzah Zainuddin dan Dr Marzuki tuduh kerajaan zalim kerana guna Akta Hasutan mendakwa Mahiaddin.
“Zalim jangan dilihat dari segi akta. Zalim harus dilihat kepada fitnah dan pembohongan yang dia lakukan terhadap YDP Agong 16. Dia bohong pasal 115 MP. Amat menghasut,” katanya.
BACA JUGA Mydin dipuji jual burger ayam 67 sen sebiji, kalah burger stadium