Da’i Syed menangis teresak-esak dihukum 10 tahun penjara, tiga sebatan kerana merogol

Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman 10 tahun kepada penceramah selebriti, Da’i Syed atas dakwaan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Dia juga dijatuhkan hukuman tiga sebatan oleh Hakim Norazlin Othman selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.

Lapor Harian Metro, sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh.

Turut menemaninya adalah isteri, Hana Ismail, 38, yang baru melahirkan anak 16 hari lalu.

Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful kemudian dilihat memeluk isterinya yang juga sedang menangis.

Syed Shah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 pada 11 September 2019.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022.

BACA JUGA Sehari cuma raih RM20, peniaga di Jalan Masjid India terpaksa tutup kedai