TMB mengaku video tarian kurang senonoh di Bachok, memalukan Kelantan
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan meluahkan rasa kesal dan marah dengan tarian berunsur lucah yang tular baru-baru ini walaupun kejadian tersebut berlaku tahun lalu.
Beliau berkata, perbuatan tidak bermoral itu merosakkan masa depan anak-anak Kelantan, dan mencemarkan imej rakyat negeri itu.
Beliau kesal kerana ia telah menyebabkan imej Kelantan sebagai negeri beragama, rosak.
“Merosakkan masa depan anak anak muda kita. Tak senonoh perangai dia, bodoh lagi cara tarian tu. Peluk tiang macam peluk bini dia buat.
“Tidak kah itu satu benda yang sangat tidak senonoh. Itu merosakkan imej rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan bukan macam tu perangai. Sejahat jahat rakyat Kelantan tak akan (menari) peluk dinding, tak akan peluk tiang.
“Tapi digambarkan sebegitu. Rosak rakyat kita, rosak imej negeri kita sebagai negeri beragama,” katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Jelawat, Bachok semalam.
Beliau mengingatkan penggiat seni dikir barat supaya tidak melakukan perkara tidak bermoral seperti itu yang boleh mencemarkan seni tradisi rakyat negeri Che Siti Wan Kembang.
“Ambo minta penggiat seni, NGO budaya dan pencinta warisan asli tradisi Kelantan terutamanya dikir barat, jangan sampai benda mahal tradisi nenek moyang yang kita warisi ini, yang satu satunya ada dalam negara ini dicemari dengan elemen dari segelintir puak tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya.
Terdahulu tular video berdurasi 29 saat memaparkan seorang wanita memakai baju kurung dan bertudung sedang menari dangdut sambil bernyanyi yang turut disertai dua lelaki.
Ia dimuat naik laman Facebook Amran Fans.
BACA JUGA Netizen Indonesia namakan 10 sebab kenapa Malaysia no 1 di dunia