Dedikasi khas buat Anwar, tarian ‘cuci rasuah’ guna penyapu gempak habis
Peserta persembahan Hari Merdeka hari ini mencuri tumpuan ramai apabila menggunakan props berupa peralatan pembersihan seperti penyapu dan tong sampah sebagai simbolik mencuci rasuah.
Penggunaan penyapu itu sendiri sudah menyampaikan mesej perangi rasuah yang selama ini menjadi perjuangan Perdana Menteri.
Difahamkan, tarian “Cuci Rasuah” ini didekasikan khas buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persembahan yang dijayakan 515 warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu diiringi medley beberapa lagu patriotik yang disingkatkan menjadi muzik berentak rancak dan diikuti lagu baharu bertajuk “Cuci Rasuah”.
Lebih menarik, kesemua mereka mengenakan baju berwarna jingga sebagai simbolik bahawa individu yang ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat rasuah akan memakai baju lokap berwarna oren.
Pengarah Artistik dan Konsep bagi sambutan Hari Kebangsaan, Rosnan Nordin berkata, persembahan ini adalah kejutan untuk Perdana Menteri berserta lagu yang beliau hasilkan sendiri yang tidak pernah dimainkan di corong radio.
Katanya, penggunaan penyapu dan tong sampah dalam tarian berdurasi kira-kira lima minit itu juga membawa maksud tersendiri bagi menggambarkan rasuah iaitu jenayah yang dipandang keji dan kotor oleh masyarakat serta boleh merosakkan negara.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau terpanggil untuk menghasilkan karya berkenaan sebagai menyokong usaha murni Anwar yang mahu membanteras rasuah habis-habisan pada pelbagai peringkat khususnya dalam perkhidmatan awam.
“Saya selalu baca kenyataan Anwar, beliau sering cakap pasal banteras rasuah kalau boleh daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya kes. Saya tertarik dengan kenyataan ini.
“Maka saya terfikir, apa sumbangan saya. Idea ini tercetus ketika saya sedang memandu. Kemudian, saya kongsi dengan pasukan produksi,” katanya dan menambah persembahan itu diibaratkan sebagai buah tangan terakhir yang meninggalkan kenangan dalam karier beliau sebelum bersara tahun depan.
BACA JUGA Baru tahu tarikh 31 Ogos dipilih oleh Ulama, ini 6 fakta menarik yang ramai tak sangka