Mudahnya dapat duit dari kerajaan Selangor, wajib rebut insentif tangkap ikan bandaraya ini
Sebanyak RM50,000 diperuntukkan kerajaan negeri Selangor sebagai insentif menangkap ikan Pleco yang lebih dikenali sebagai ikan bandaraya di Denai Kebangsaan, Sungai Langat.
Insentif bagi menghapuskan ikan yang dengan nama saintifiknya Pterygoplichthys pardali itu dalam usaha untuk memulihkan populasi ikan tempatan dan meningkatkan kualiti air di saliran itu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim, berkata sebanyak RM1 akan diberikan secara tunai kepada pemancing bagi setiap kilogram (kg) ikan bandaraya yang berjaya ditangkap.
“Untuk kos-kos peralatan seperti jala, kita sudah ada bajet. Kita tumpukan di sini (Denai Kebangsaan) dahulu. Kalau ada benda yang perlu diperbaiki kita akan perluaskan selepas itu
“Sambutan yang saya terima daripada media sosial, panggilan telefon dan sebagainya memang sangat memberangsangkan.
“Sekiranya berterusan, saya yakin kita boleh mengurangkan dan kita nak hapuskan terus (ikan bandaraya),” katanya kepada pemberita selepas meninjau program inisiatif tangkapan ikan pleco (ikan bandaraya) di ibu negara, hari ini.
Bercakap lanjut, Izham berkata, tangkapan hari ini akan diproses menjadi baja kompos dan juga makanan untuk ternakan.
“Kualiti ikan sangat tinggi ini apabila dijadikan baja kerana kandungan nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) yang luar biasa.
“NPK ini adalah perkara yang penting dalam pembajaan. Potensi itu ada. Sangat baik untuk kita komersialkan ikan ni.
“Saya yakin dengan gandingan aspek komersial dan insentif bilangan ikan ini kita boleh kawal,” katanya.
Katanya lagi, inisiatif ini dilakukan untuk berikan kesedaran kepada masyarakat yang selama ini menganggap ikan terbabit tidak mempunyai ancaman.
“Ikan ini memang tidak mengancam dan tidak memakan ikan lain tetapi dia mengawal makanan, menyebabkan ikan lain terpaksa berebut untuk mencari makanan.
“Dia (ikan bandaraya) akan menang kerana tidak mempunyai pemangsa dan tahan lasak. Dalam persekitaran macam mana pun ia boleh bertahan dan kajian membuktikan jangka hayatnya melebihi 15 tahun. Kita perlukan kerjasama semua pihak, bukan sahaja agensi kerajaan tetapi badan bukan kerajaan (NGO).
Izham berkata, selepas populasi ikan bandaraya dikurangkan di Denai Kebangsaan, benih ikan-ikan tempatan akan dilepaskan untuk meningkatkan kembali kualiti air.
Beliau juga yakin ketika ini populasi ikan bandaraya di semua sungai seluruh Selangor telah meningkat.
“Sungai Damansara adalah anak sungai kepada Sungai Kelang. Jika di Sungai Damansara dalam masa dua jam kita boleh dapat sehingga lebih satu tan, saya yakin Sungai Kelang lebih banyak.
“Kita sedang buat kerja-kerja pengorekan dan kita juga akan adakan tangkapan di Sungai Kelang,” ujarnya.
Program hari ini disertai 60 pemancing terdiri daripada 21 kumpulan dan berlangsung setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan September bermula hari ini.
BACA JUGA Murid lapan tahun dibawa ke bilik air, tergamak guru mengaji buat perangai keji