Raja Bomoh dah pernah berjanji tak buat hal lagi, ini tindakan JAIPk
Raja Bomoh yang mengejutkan orang ramai apabila muncul sewaktu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Masjid India rupanya pernah berjanji tidak mengulangi melakukan hal pelik-pelik lagi.
Dia atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin pada Januari 2022, dilapor sudah berjanji kepada JAIPk untuk tidak akan mengulangi perbuatan mengadakan ritual atau sebarang upacara bercanggah dengan agama dan hukum syarak.
Namun, kemunculannya di lokasi nahas menimpa warganegara India itu turut mengundang reaksi pelbagai pihak.
Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menasihati Raja Bomoh berhubung tindakannya pada 28 Ogos lalu merenjis air ‘istimewa’ di sekitar lokasi berdekatan tragedi terbabit.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata bagaimanapun siasatan mengenai jika berlaku pelanggaran perundangan syariah ketika Raja Bomoh itu dikatakan membantu usaha mencari mangsa hilang berkenaan, diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri tempat kejadian itu berlaku.
“Nanti kita tengok, kita panggil balik Insya-Allah …Kita akan kemukakan nasihat (dalam) hal ni.
“Kalau dia berlaku bukan di tempat (negeri) kita, kita tak boleh (ambil tindakan).
“Maknanya kalau dia (berlaku) di Selangor (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), maka negeri itu yang akan ambil alih, iaitu berdasarkan kesalahan itu dibuat di negeri mana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bicara Santai sempena karnival Merdeka x Hingo Fest 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di Ipoh malam tadi.
Harith Fadzilah ditanya sama ada JAIPk akan memanggil atau menasihati Raja Bomoh berkenaan yang juga anak kelahiran negeri Perak.
BACA JUGA Lain macam selera, lelaki habiskan sedulang nasi kandar berharga RM372