‘Syed’ muncul trending, rakan Da’i dikecam ‘terkelu lidah’
Kata ‘Syed’ muncul sohor kini di laman X dengan lebih 27,000 ciapan setakat petang ini menyebut nama berkenaan.
Semakan mendapati rekod trending itu turut disumbangkan daripada tulisan Da’i Fuad Mokhtar kelmarin yang kemudian mengundang kritikan terhadapnya.
Menerusi akaun @daifuadmokhtar, dia mengakui sebagai rakan Da’i Syed yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan kerana merogol.
Fuad berkata, sebagai rakan Da’i dia terkelu lidah dan “rasa tidak menentu serta serba salah” susulan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 30 Ogos lalu.
“Menitik juga air mata ketika terdengar berita hukuman berkenaannya tersebar sebelum solat Jumaat (30 Ogos) tadi.
“Ujian ini bukan sahaja untuk beliau tetapi untuk kami semua. Kami mohon maaf,” katanya.
Dia dalam masa sama turut bersimpati dengan mangsa selain turut menyeru orang ramai mengasihani isteri Syed dan anak pendakwah selebriti itu.
“Kasihanilah juga isterinya dan anaknya yang harus menghadapi rintangan hidup yang berat ini. Apatah lagi jika mereka perlu hidup tanpa pelindung.
“Keadaan ini adalah ruang untuk kita semua bermuhasabah dan sedar bahawa setiap daripada kita bila-bila masa sahaja akan diuji,” kata Fuad lagi.
Rata-rata mengecam kenyataan itu dengan mengingatkan bahawa kes rogol yang melibatkan mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun itu bukannya “ujian” sebaliknya jenayah.
Ramai mempertikaikan kenyataan Fuad itu memandangkan Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, dalam keadaan sedar dan waras ketika jenayah tersebut dilakukan.
BACA JUGA Pemerdagangan manusia: PDRM siasat dakwaan Datuk Mashitah terlibat