Peruntukan pembangkang: ‘Kemuka draf MoU, tak payah pergi ke media’
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan keseluruhan perbincangan berkaitan peruntukan kepada pembangkang perlu diadakan melalui saluran rundingan.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, perbincangan berkenaan draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang itu bukan menerusi media atau perbincangan terbuka.
Jelasnya, jumlah peruntukan tidak dinyatakan memandangkan terma bagi draf yang diterima Ahli Parlimen pembangkang pada bulan lepas belum dipersetujui Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, jumlah tersebut sebaliknya hanya akan diumum selepas keseluruhan terma yang terkandung dalam MoU itu dipersetujui kedua-dua pihak.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan tidak akan mendedahkan sebarang perincian mengenai terma lain dalam MoU itu, selain menegaskan tiada had masa ditetapkan bagi proses rundingan bersama blok terbabit.
“Bila berunding, pertama sekali kita akan kemukakan draf dan tak payah pergi ke media.
“Beri maklum balas kepada draf berkenaan… kita bincang hingga ia dimuktamadkan, sebelum dipaparkan kepada media.
“Tidaklah sampai ke tahap rundingan tertutup, tetapi kalau (PN) mahu berunding secara terbuka, kita boleh buat perbahasan, (tetapi nanti akan) jadi perbahasan pula,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Bantuan Guaman Pelajar Undang-undang Malaysia, hari ini.
Semalam, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata terdapat tujuh syarat keseluruhannya dalam draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang diterima pada 6 Ogos lalu.
Takiyuddin berkata, antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).
Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas bagaimanapun berkata tidak faham mengapa Ahli Parlimen bukan pentadbiran perlu mengisytiharkan harta.
Dia turut mempersoalkan tempoh kuatkuasa MoU tersebut yang sehingga akhir penggal ke-15 kerana menganggap tidak kena mengena dengan peruntukan.
BACA JUGA Sanusi cakap berjaya ‘tangkap’, pegawai polis pula ulang ‘bukan isteri MB’