Masa untuk perkukuh kerjasama, PM Anwar tiba di Rusia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Vladivostok, Persekutuan Rusia untuk lawatan kerjanya selama dua hari.

Sejak dilantik Perdana Menteri pada 2022, ini adalah lawatan sulung Anwar ke Rusia yang merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah.

Dalam catatan di Facebook, beliau berkata kunjungan ini akan membawa manfaat yang terbaik kepada negara, terutama dalam memperkukuh kerjasama serta hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Persekutuan Rusia. 

Mengikut jadual, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September. 

Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 September.

Dalam lawatan itu, Anwar akan bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kerana Russia memegang jawatan Pengerusi BRICS.

Untuk rekod, pada 2023, jumlah perdagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion) berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) pada 2022.

BACA JUGA Kecoh didakwa kahwin dua, lain pula reaksi Sanusi