Sanusi akhirnya akui kahwin dua dengan polis

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akhirnya mengakui sudah mengahwini seorang pegawai polis sebagai isteri kedua.

Pengesahan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu selepas desas-desus mengenainya bertiup sejak beberapa minggu lalu.

Sanusi memaklumkan proses perkahwinan kali keduanya itu dilaksanakan mengikut proses dan undang-undang yang sah selain pinangan dilakukan sendiri oleh isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

“Saya (nak maklumkan saya sudah) kahwin dengan polis. Isteri saya pergi meminang. Pinangan itu dibuat oleh isteri saya, berbulan (bulan) dahulu.

“Alhamdulillah (majlis berlangsung dengan) sempurna, teratur dan beres, (pada) hari pinangan (dan) hari perkahwinan, isteri (pertama) saya ada (bersama), anak-anak saya (juga) hadir, semua proses yang kena buat untuk (perkahwinan) itu semua dipatuhi, jadi tidak ada isu,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Daerah Padang Terap di Dewan Komuniti Felcra Belimbing Tualak, Kuala Nerang hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya pendedahan itu dibuat hari ini bagi mengelak lebih banyak spekulasi yang tidak benar dan fitnah keatas beliau dan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, beliau mengambil sikap berdiam diri sebelum ini berhubung perkahwinan keduanya bagi mengelakkan wujud cerita-cerita sensasi yang tidak perlu mengaitkan dirinya.

“Benda-benda (perkahwinan) macam itu tidak patut jadi sensasi, masyarakat (sepatutnya) kena didik, (nak) sensasi (apa-apa pun) mesti kena ada ilmu apa semua, saya tak berhasrat buat pengumuman itu (sebelum ini) sebab saya nak elak benda sensasi yang tak perlu,

“Jadi (apabila) hampa ligan (kejar), saya pun kesian tengok hampa, saya pun maklum (harini), saya rasa tidak ada isu apa, saya ada kuota dua lagi,” katanya berseloroh.

Kelmarin, Sanusi sewaktu berucap dalam Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) di Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, telah ‘menangkap’ orang yang hendak menangkap beliau.

“Alhamdulillah, saya berjaya menangkap orang yang hendak menangkap saya,” katanya diikuti ketawa tanpa henti.

Sanusi kemudian menyambung ucapan itu dengan menyoal hadirin di hadapannya, “ada faham?” ujarnya sebelum terus ketawa.

Awal sebelum itu lagi, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menafikan beliau sudah berpoligami.

Namun, dia pernah memuat naik status di laman Facebooknya pada 14 April lalu, mengenai saranan berkahwin pada bulan Syawal dengan catatan ‘Dok (berada di) Pahang’.

BACA JUGA Sanusi mengaku ‘tangkap’ orang yang nak tangkap beliau