Selepas SPRM geledah pejabat kes RM4 bilion, ini respon YTL

Pihak YTL Power International Bhd (YTL Power) mengesahkan pihaknya ada menerima permohonan mendapatkan maklumat berhubung projek 1Bestarinet daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut YTL Power Bhd, permohonan SPRM itu dikemukakan kepada anak syarikatnya, YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms), baru-baru ini.

Sehubungan itu, menerusi kenyataan media malam ini, dinyatakan bahawa YTL Comms sentiasa bekerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut dan yakin ia akan diselesaikan sewajarnya.

“Kami merujuk pelbagai laporan berita dalam talian hari ini mengenai siasatan dijalankan SPRM ke atas YTL Comms berkaitan projek 1BestariNet.

“Kami mengesahkan ada menerima permohonan daripada SPRM baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat daripada YTL Comms berhubung projek berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Berhubung 1BestariNet pula, YTL Power berkata, projek itu dianugerahkan kepada YTL Comms secara tender terbuka selepas menewaskan persaingan membabitkan 19 syarikat, pada 2011.

“YTL Comms dipilih kerana tawarannya yang paling mematuhi teknikal dan paling kos efektif.

“Projek ini disahkan berjaya diselesaikan pada akhir tempoh kontrak pada 30 Jun 2019 oleh KPM,” katanya.

Sebelum ini, media memetik sumber melaporkan SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Comms di ibu negara, hari ini.

Tindakan itu bagi siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, kemudian mengesahkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, lapor BH.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada semua sekolah seliaan KPM.

Audit pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan, sejumlah 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018.

Dalam masa sama hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru sudah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.

BACA JUGA Saksi akui terperdaya, maksud ‘semua anggota badan’ dan ‘permintaan’ Ebit Lew mengejutkan