Yakin industri REE beri saingan sihat tapi Rafizi beritahu ada satu masalah…

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yakin industri berkaitan unsur nadir bumi (REE) melalui penubuhan Syarikat State Goverment (SG4) Group Sdn Bhd yang ditubuhkan empat negeri ditadbir pembangkang sebagai satu persaingan sihat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kemampuan sebenar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan terserlah sekiranya berjaya membawa pelaburan asing serta teknologi pemprosesan industri berkaitan REE ke negara ini.

Ini kerana, kata Rafizi, China menguasai hampir 90 peratus industri REE dan kebanyakan teknologi untuk memproses unsur nadir bumi itu hanya dimiliki syarikat milik republic
berkenaan.

“Hanya ada beberapa syarikat bukan China yang mempunyai teknologi ini. Perbincangan di peringkat Kerajaan Persekutuan memutuskan supaya usaha di peringkat kerajaan dimulakan untuk meyakinkan pelabur untuk berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan membuka kilang pemprosesan di Malaysia.

“Saya yakin ini persaingan yang sihat kerana Kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir empat negeri ini berlumba-lumba membuktikan siapa yang paling handal membawa teknologi pemprosesan REE ke Malaysia.

“Jika tidak, rancangan yang diumumkan di Bangi itu hanya kekal menjadi hasrat sahaja,” katanya menerusi X, hari ini.

Terdahulu, Mahathir dilaporkan berkata akan menubuhkan syarikat bersama sebagai usaha untuk memajukan lagi pentadbiran yang dikuasai pembangkang itu.

Ketua Panel Penasihat empat kerajaan negeri ditadbir PN atau SG4 itu berkata, setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat berkenaan dan ia bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis, juga mendapat hasil yang sama seperti negeri lain.

Jelasnya, syarikat berkenaan akan memfokuskan kepada elemen REE kerana percaya ia akan menjadi punca kekayaan.

BACA JUGA Berapa kos dihabiskan Khairul Aming buat video masakan di New Zealand?