Asyraf Wajdi naik angin, kontraktor makanan MRSM buat kerja cincai
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berang dengan tindakan “cincai” segelintir kontraktor yang bertanggungjawab mengendalikan dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Beliau dalam satu hantaran di Facebook mendakwa, ada kontraktor dewan makan yang menyediakan makanan sambil lewa selepas mengetahui kontrak mereka bakal tamat.
Beliau justeru menegaskan agar kontraktor itu disenaraihitamkan oleh MARA.
“Saya tak boleh terima sikap segelintir kontraktor makan dewan selera MRSM yang buat sambil lewa dan cincai bila tahu kontrak bakal tamat.
“Syarikat seperti ini wajib disenaraihitamkan oleh MARA!,” tegasnya.
Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi berkata, ini adalah soal keselamatan dan kesihatan pelajar yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
Beliau mempersoal adakah pihak kontraktor makanan ini tidak takut sekiranya rezeki yang diterima mereka itu hilang keberkatan disebabkan tidak jujur dalam memberikan perkhidmatan.
“Ini soal keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan anak-anak pelajar. Tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Apakah tidak ada sekelumit rasa gerun dengan setiap sen yang diperolehi daripada sikap kecurangan yang bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah tetapi melibatkan hak ratusan manusia yang teraniaya.
“Akhirnya rezeki tiada barakah dan membawa kepada malapetaka,” ujarnya di ruangan komen.
BACA JUGA Saksi akui terperdaya, maksud ‘semua anggota badan’ dan ‘permintaan’ Ebit Lew mengejutkan