Dua faktor buaya tembaga jantan di Taman Tasik Shah Alam berjaya ditangkap

Kajian perilaku dan pergerakan buaya yang tepat menjadi faktor kejayaan utama penangkapan buaya tembaga jantan di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, ini membolehkan dua perangkap dipasang pada kedudukan yang betul.

Tindakan penutupan kawasan taman pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan serta ancaman dalam proses penangkapan terbabit, katanya.

“Operasi menyelamat buaya ini paling singkat kita dilakukan setakat ini iaitu kurang 24 jam. Kita pasang dua perangkap di lokasi berasingan bermula pukul 10 pagi tadi (semalam) dan syukur dapat selamatkan reptilia bersaiz sederhana itu,” katanya, lapor Kosmo.

Buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter dan seberat kira-kira 20 kilogram tersebut berjaya ditangkap kira-kira pukul 10.20 malam selepas buaya itu memasuki perangkap pertama dengan umpan segar yang dipasang 10 pagi semalam.

Wan Mohd. Adib berkata buaya itu dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil bagi pemeriksaan lanjut dan memastikan reptilia tersebut tidak membawa sebarang penyakit.

Ditanya mengenai punca kehadiran buaya itu, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat dan tidak menolak kemungkinan sama ada ia sesat atau dibuang pihak tertentu.

“Tasik ini ada beberapa laluan saliran yang mungkin dimasuki buaya itu ketika hujan lebat atau banjir kilat. Selain itu, ia juga mungkin dibuang ke dalam oleh pihak tertentu. Namun, perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Pasukan Perhilitan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis telah mengawal ketat kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada orang awam yang turut menyaksikan penemuan buaya tersebut.

Buaya itu berjaya dibawa naik dari dalam tasik kira-kira pukul 12.05 tengah malam