‘Malaysia akan meneruskan usaha teroka minyak, gas asli biarpun dibantah China’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan meneruskan usaha meneroka minyak dan gas asli di kawasan yang berpotensi di Laut China Selatan meskipun China telah membuat bantahan atas alasan penerokaan tersebut melepasi sempadan.

Beliau berkata operasi penerokaan tersebut dilakukan di dalam Kawasan perairan negara dan Malaysia bukan pihak yang membuat provokasi.

“Mengenai kawasan tersebut yang dibantah oleh China, kita menegaskan ini adalah kawasan kita, tetapi kita terbuka untuk berbincang. Tetapi penerokaan minyak ini dalam kawasan perairan kita.

“Kita mungkin akan memberi respons kepada China, menerangkan kedudukan kita, tetapi kita bukan melakukan tindakan provokasi.

“Kita perlu meneruskan penerokaan di perairan kita dan menjamin kelebihan kita, termasuk operasi mencari gali dalam kawasan kita sendiri. Beijing hantar nota bantahan kerana dia rasa itu kawasan dia. Tetapi kita kena teruskan operasi ini kerana ini adalah berkaitan kelangsungan ekonomi kita,” tegasnya lagi.

“Mereka (China) tahu kedudukan kita. Mereka dakwa kita menceroboh masuk kawasan mereka. Kita kata tidak, itu kawasan kita. Tetapi jika mereka terus tidak puas hati, maka okay, kita akan mendengar, dan mereka juga perlu bersedia mendengar,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam siding media Malaysia sempenan lawatan kerja dua hari ke Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 anjuran Yayasan Roscongress.

Beberapa hari yang lepas nota diplomatik Beijing kepada Putrajaya bocor mendedahkan bantahan China terhadap usaha penerokaan yang dibuat oleh Petronas.

Pada hari Rabu, Wisma Putra memberi kata dua untuk menyiasat kebocoran tersebut kerana ia mengandungi maklumat rahsia dan berkaitan kedaulatan negara.

Laporan media antarabangsa terdahulu melaporkan China mendakwa keseluruhan Laut China Selatan termasuk kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ) adalah di Bawah kedaulatannya.

EEZ memberi hak kepada negara berkenaan untuk mengeluarkan hasil bumi di dalam zon tersebut.