PRK DUN Mahkota: Pas Johor akur Bersatu bertanding

Pas Johor akur dengan keputusan PN untuk membenarkan calon Bersatu bertanding di dalam pilihan raya kecil Mahkota, Johor.

Ini adalah PRK kedua di mana Pas terpaksa memberi jalan kepada Bersatu untuk bertanding. Sebelum ini ia berlaku di Nenggiri, Kelantan.

Ketua Pas Johor Abdullah Husin berkata pihaknya tidak akan merayu atau memboikot calon parti rakannya meskipun telah mengemukakan enam nama kepada majlis pimpinan pusat PN.

“Sejak mula lagi, kita telah menyatakan bahawa keputusan akhir akan dibuat oleh pimpinan pusat. Mereka telah membuat keputusan berdasarkan pelbagai faktor dan kita menerimanya,” kata Abdullah yang juga adalah timbalan pengerusi PN Johor, lapor FMT.

Di sebelah BN, tiga nama diuar-uarkan sebagai bakal calon.

Mereka ialah ketua pemuda UMNO Kluang Syed Hussein Syed Abdullah, ketua Wanita UMNO Kluang Zainani Jamaluddin dan ketua Umno bahagian Kluang Jais Sarday.

Jais pernah menjadi Adun Mahkota selama dua penggal sebelum ini.

PRK Mahkota akan berlangsung pada 28 Sept berikutan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos