‘Abang Bas’ kena reman lima hari akibat ‘crush’ murid sekolah rendah

Seorang pemandu bas berusia 24 tahun direman lima hari sehingga 10 September ini selepas memuatnaik rakaman video penumpangnya yang dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Perintah reman bermula hari ini dibenarkan Majistret Suhaila Safi’uddin, selepas ia dimohon di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi tadi.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Suspek yang ditahan di Simpang Renggam, awal pagi tadi diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Batu Pahat.

Akaun TikTok ‘Abang bas’ didapati sudah disekat oleh pengendali platform itu selepas dia ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata penahanan pemandu itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi tadi.

Telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosial miliknya turut dirampas.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok seorang pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Pemilik akaun TikTok yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ itu mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Dia merekodkan video ketika memandu bas sekolah dengan wajah murid jelas kelihatan.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.

Sementara itu, semakan mendapati akaun TikTok ‘Abang bas’ sudah tiada dalam senarai carian dan telah disekat oleh pengendali platform tersebut.

BACA JUGA Kronologi skandal 1Bestarinet kontrak RM4 bilion melibatkan MahiaddinÂ