Air melimpah di Kedah, empat kampung dilanda banjir kilat
Sekurang-kurangnya empat kampung sekitar Yan, Kedah dilapor terkesan akibat banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam.
Air deras melimpah dari pergunungan di kawasan air terjun Seri Perigi dan Titi Hayun, di Yan menyebabkan beberapa sungai turut dilimpahi air.
Antara kampung yang terkesan adalah Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Raga, Kampung Ruat dan Kampung Titi Bakong.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali menasihatkan penduduk sentiasa berwaspada untuk sebarang kemungkinan, memetik BH Online.
Beliau turut menasihatkan pengunjung mengelak berkunjung ke kawasan peranginan terbabit buat masa ini, selain berhati-hati serta waspada dengan perubahan air di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sejak beberapa tahun lalu, limpahan air deras akibat kejadian kepala air dari kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi dilapor kerap berlaku.
Pada Mei 2023, kawasan air terjun Titi Hayun dan Seri Perigi dilanda kepala air dengan limpahan air deras turun dari puncak bukit selepas hujan lebat.
Hujan lebat di atas puncak Gunung Jerai menyebabkan air mengalir deras dan kepala air berlaku.
Paling menggemparkan tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kawasan itu pada 18 Ogos 2021 yang meragut tujuh nyawa.
Lebih 2,000 kediaman penduduk terjejas manakala kawasan peranginan itu dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak akibat kejadian kepala air.
BACA JUGA Lebih sebulan ‘diperam’, MoU peruntukan pembangkang mungkin diputuskan 9 September ini