Jakim, halal dan mati syahid

Oleh SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Kebelakangan ini, Kerajaan Madani diserang kiri dan kanan, bagi kelompok liberal kerajaan tidak cukup Iiberal manakala bagi kelompok mendakwa mereka Islamik, kerajaan hari ini tidak cukup Islamik.

Golongan liberal seperti lazimnya menyerang isu Jakim berkaitan dengan penempatan pegawai dari Jakim di setiap kementerian.

Walhal, perkara tersebut sudah menjadi amalan sejak 1980-an untuk memastikan dasar pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dirujuk atas premis Jakim adalah agensi Persekutuan diwujudkan atas kuasa Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Islam (MKI) di bawah naungan Majlis Raja-Raja.

Isu halal tidak kunjung padam kerana salah tanggap sebahagian besar masyarakat termasuk umat Islam bahawa yang tiada sijil adalah haram.

Sijil halal adalah proses pensijilan untuk mendapat kepercayaan supaya pasaran perniagaan sesebuah syarikat boleh menguasai segmen Muslim.

Malah, ada syarikat Muslim yang tidak ada sijil halal tetapi dapat menembusi pasaran Muslim tanpa perlu sijil halal kerana kepercayaan pengguna.

Mendapat siji halal juga bermakna proses persediaan sesuatu produk bukan sahaja halal daripada bahan-bahan haram tetapi juga bersih dan selamat.

Oleh sebab itu, syarikat bukan Islam mahukan pensijilan ini kerana menepati keperluan pengguna waima dari kalangan bukan Islam sendiri. Jadi, berhentilah daripada mensensasikan isu ini.

Bagi kelompok yang “tersangat Islam” pula, Madani tidak cukup Islam kerana itu mereka bernazhab “Islam terancam”.

“Wirid” ini mudah mencari pengikut di kalangan kelompok anak muda yang ditakutkan dengan masa depan Islam akan terancam di Malaysia walaupun ia tidak berpijak kepada fakta konkrit yang melihat isu secara lebih adil dan secara keseluruhan.

Kelompok “tersangat Islam” ini bergerak dalam parti politik, tokoh-tokoh ustaz selebriti dan nama-nama besar yang punya pengaruh dan pengikut yang ramai.

Malangnya, kebanyakan pengikut mereka tidak dibekalkan dengan maklumat dari ilmu-ilmu dasar pentadbiran negara dalam Islam (Siyasah Syarieyah) yang sangat luas dan dipandu prinsip-prinsip dasar dari Al-Quran dan Sunnah.

Maka tidak hairanlah kalau mereka melawan Madani kerana istilah ini tidak ada dalam kitab-kitab feqah mereka atau dalam kitab-kitab nasihat (mauizah) mereka. Dan kerana Madani bukan dari Islam maka perlu dijatuhkan, diperlekehkan (madanon) dan ditertawakan sehingga perjuangan “menegakkan Islam” perlu diteruskan walaupun kita perlu “mati syahid” untuk berbuat demikian.

Peliknya pentas ustaz selebriti berceramah adalah di saluran TV pemerintahan Madani, masjid-masjid dibuka luas untuk mereka ceramah dan media sosial tempat mereka hamburkan kebencian mereka dan memecah-belahkan masyarakat diberi peluang oleh kerajaan Madani.

Ada yang masih berceramah di Kementerian dan Pejabat kerajaan Madani. “Baik sungguh” kerajaan Madani “membantu” mereka menyebarkan wirid ‘Islam terancam”.

Walhasil, Malaysia adalah negara Islam, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam Persekutuan manakala Raja-raja Melayu ketua agama Islam di negeri masing-masing.

Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, MKI, Jakim, kemakmuran masjid, akta dan enakmen Islam, pemimpin politik Islam dan dasar-dasar Islam lain terlaksana.

Kebebasan beragama bagi penganut lain, wujudnya rumah ibadat bukan Islam, sambutan perayaan bukan Islam adalah ciri lazim kemajmukan di Malaysia yang diiktiraf dan kita hidup dengan penuh keharmonian.

Kasihan PMX, beliau dituduh tidak cukup Islam manakala di sebelah lain dia dikatakan tidak cukup liberal.

Hakikatnya, seorang dua di sebelah sini dan seorang dua di sebelah sana berkokok tidak akan mengubah bahawa Islam adalah ciri kekal negara, syariat tetap akan terbela, umat akan senantiasa mempertahankan kemuliaan Islam, memakmurkan negara adalah tanggungjawab syariat dan hidup secara aman dalam kepelbagaian adalah tuntutan Rahmatan Lil Alamin.

Tidak tahulah saya yang tersirat dalam wirid ‘Islam terancam’ bermaksud parti tertentu terancam ataupun mempertikaikan tentang Jakim atau halal ada hasrat kebencian tertentu. Wallahualam bissawab.

*SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Ahli Dewan Negara dan Timbalan Presiden AMANAH.

BACA JUGA Lebih sebulan ‘diperam’, MoU peruntukan pembangkang mungkin diputuskan 9 September ini