Pensijilan halal luas peluang komersial, Teresa Kok perlu tarik balik kenyataan sensitif
Oleh FAIZ FADZIL
Laporan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol adalah satu cadangan yang positif.
Langkah ini, jika dilaksanakan, sama sekali tidak akan bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya mahupun mengganggu hak beragama sesiapa, kerana konsep halal yang bersifat universal.
Pensijilan halal ke atas produk makanan kini diamalkan di seluruh dunia termasuk negara-negara yang umat Islam minoriti.
Tidak sepatutnya Ahli Parlimen Seputeh YB Teresa Kok cepat melatah membantah cadangan tersebut.
Memandangkan idea mewajibkan pensijilan halal ini masih di peringkat cadangan, seharusnya penyokong kerajaan menggunakan saluran lain yang lebih sesuai untuk menyatakan pandangan.
Pandangan di saluran media berkaitan isu sensitif melibatkan perkara dasar dan hukum Islam seharusnya tidak disentuh di premis umum.
Justeru, YB Teresa perlu menarik balik kenyataan beliau tersebut.
Jika sekalipun cadangan ini dilaksanakan akan melibatkan kos kepada peniaga, kerajaan atau Jakim masih boleh menawarkan inisiatif khusus untuk pensijilan halal ini bagi meringankan poket peniaga.
Pelaksanaan sijil halal ini penting bagi meningkatkan kualiti produk yang dijual terutama makanan.
Penarafan sijil halal ini akan mengesahkan sesuatu produk itu baik dan bersih.
Mana-mana proses penarafan sesuatu sijil oleh pihak berkuasa adalah bagi menjaga kualiti sesuatu produk bersesuain dengan kehendak dan piawaian yang ditetapkan seperti ISO, MyGAP dan GMP di mana proses penarafan ini memang melibatkan kos.
Oleh itu, cadangan pensijilan halal ini tidak perlu dikaitkan dengan faktor kewangan, tetapi perlu dilihat dari faktor peningkatan kualiti produk.
Cadangan pensijilan halal ini jika dilaksanakan akan mengangkat industri makanan negara ke tahap lebih tinggi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Jika tidak, mana mungkin industri halal Malaysia diceburi secara aktif oleh para usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Setakat Julai 2024, 57.6% daripada 9,146 syarikat yang mempunyai sijil halal JAKIM adalah syarikat milik bukan Bumiputera.
Malah, hanya 6.1% nilai eksport halal pada tahun 2023 disumbangkan oleh produk keluaran Bumiputera.
Peluasan pensijilan halal di Malaysia akan mengembangkan peluang komersial bagi semua pemain, tanpa mengira kaum dan agama.
Menjelang 2030, industri halal tempatan dijangka mencecah nilai US$113.2 bilion, berbanding hanya US$68.4 bilion pada tahun 2018.
Daripada aspek sumbangan kepada ekonomi pula, industri halal dijangka bernilai 11% daripada KDNK negara tahun 2023 berbanding 7.4% pada 2018.
Potensi pertumbuhan yang kukuh ini membuka peluang kepada semua pemain, Bumiputera mahupun Bukan Bumiputera, untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan.
*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.
BACA JUGA Bahana ‘Abang Bas’, orang ramai dinasihat tahu lindungi anggota seksual anak-anak