Siapa guna papan luncur di jalan raya tu? Polis sedang buru
Individu yang menggunakan papan luncur di jalan raya seperti yang tular di media sosial sejak semalam sedang diburu polis.
Perlakuan berbahaya itu difahamkan berlaku di laluan berbukit Jalan Baru, Balik Pulau.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata video berdurasi 47 saat itu dikesan pihaknya semalam, selepas dimuatnaik pemilik akaun Facebook @Arief Why Pocong Pocong.
“Aksi individu yang menggunakan papan luncur itu boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Kaedah-kaedah kawalan Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikroboliti) 2021,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kamarul Rizal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8664122 atau hubungi pegawai penyiasat di talian 013-3312026.
BACA JUGA Bahana ‘Abang Bas’, orang ramai dinasihat tahu lindungi anggota seksual anak