PRK Mahkota: Semua pimpinan DAP Johor akan bantu kempen calon BN
DAP Johor memutuskan semua pimpinan negeri parti itu perlu membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada 28 September nanti.
Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat diadakan Jawatankuasa DAP Negeri Johor di pejabat Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Kluang.
Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata, DAP Johor menyedari pentingnya PRK Mahkota dalam menentukan hala tuju politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Apabila calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK Mahkota diterima oleh semua kaum, ia akan mengukuhkan lagi kestabilan Kerajaan Persekutuan.
“Ia juga dapat merapatkan kerjasama di antara Pakatan Harapan dan BN di peringkat negeri yang akan mengembalikan kebangkitan Malaysia menuju lonjakan ekonomi kedua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein, 40, diumumkan sebagai calon di DUN Mahkota mewakili Kerajaan Perpaduan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah, 64, pada 2 Ogos lalu
BACA JUGA ‘Tentera netizen Malaysia’ duduki tangga kelima dunia paling kuat buli siber