40 syarikat China beri komitmen melabur industri halal berjumlah RM4 bilion
Sekurang-kurangnya 40 syarikat dari China menunjukkan komitmen untuk melabur di Malaysia dalam industri halal, dengan jangkaan potensi pelaburan baharu berjumlah RM4 bilion.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Shanghai, China kepada media Malaysia.
Beliau berkata, komitmen pelaburan itu diraih hasil pertemuan serta mesyuarat beliau dan delegasi Malaysia bersama pemain industri halal China hari ini.Â
“Potensi yang sudah kami dokongi setakat tengahari tadi, terdapat 40 syarikat (dari China) yang sangat serius untuk melabur di Malaysia, iaitu menurut perkiraan kita, ia bernilai RM4 bilion.
“Tentunya barang keluaran mereka menjadi keutamaan termasuklah makanan dan minuman. Terdapat juga (permintaan pelaburan berkaitan) kawalan farmaseutikal, kosmetik, vaksin serta bahan perubatan herba.
“Oleh kerana mereka mempunyai permintaan besar dari segi penggunaan herba di Malaysia, mereka juga tawar kolaborasi perubatan herba ini dengan universiti kita dan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia),” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Justeru itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri wajar mempermudahkan urusan pelabur, khususnya berkaitan penyediaan infrastruktur termasuk bekalan air dan api, disamping insentif seperti pengecualian cukai.
BACA JUGA Ketua KSN baharu amat terguris kes guru hina Orang Asli