Mulanya nak ‘hentam’ Zahid, ini yang Mahathir dapat

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dilihat cuba untuk ‘menghentam’ Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu hanya mengundang cemuhan dan sindiran orang ramai.

Mahathir menerusi platform X miliknya mengeluarkan kenyataan mengaitkan Ahmad Zahid dengan “bukan sahaja disiasat tetapi sebenarnya didakwa dan dibicarakan di mahkamah”.

Tanpa memperincikan kes apa yang dihadapi Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kenyataan Mahathir dipercayai merujuk pada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September tahun lalu yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pendakwaan jenayah.

Reaksi Mahathir terhadap Zahid itu susulan tindakan Presiden UMNO berkenaan menyelar Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan beliau perlu diberikan cuti sebagai laluan kepada siasatan bebas berhubung isu akuan berkanun (SD).

Ahmad Zahid Hamidi

Zahid berkata, pemimpin-pemimpin Pas juga perlu diberi cuti jika siasatan yang menjadi alasan memandangkan mereka terbabit juga dalam proses siasatan.

“Ramai tokoh-tokoh Pas juga patut bercuti. Zahid berkata pemimpin Pas yang disiasat perlu bercuti.

“Tetapi Zahid yang bukan sahaja disiasat tetapi sebenarnya didakwa dan dibicarakan di mahkamah tidak perlu bercuti.

“Perbicaraan sebenarnya telah dihentikan. Dan dia menjadi Timbalan Perdana Menteri,” perli Mahathir.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang kalah teruk, malah hilang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu kemudian meneruskan sindirannya kepada Ahmad Zahid dan kerajaan Madani hari ini.

“Itulah Malaysia hari ini. Jika anda didakwa di mahkamah, lantikkan diri anda sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pertuduhan akan digugurkan.

“Anda tidak sepatutnya dihukum jika mencuri berbilion ringgit,” kata Mahathir lagi.

Susulan itu, warganet kelihatan ‘menyerbu’ Mahathir malah menasihatkan pemimpin veteran berusia 99 tahun berkenaan supaya berehat.

“Cukuplah Tun M. Parti Pejuang pun ‘bungkus’. Rakyat menolak secara “TOTAL” Tun M dengan parti Pejuang,” tempelak pengguna X, @dean74.

Dalam masa sama, ada yang mengingatkan Mahathir agar tidak mengarut dalam tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid berhubung kes rasuah dana Yayasan Akalbudi.

Antaranya pengguna X, Razali Setapa yang berkata, berdasarkan penghakiman ulasan ternyata tiada bukti kukuh yang boleh dibuktikan untuk mendakwa Ahmad Zahid.

“Jangan putar belit cerita ini adalah kerakusan mereka yang hatinya hitam dalam merosakkan imej serta karier orang. Ingat Allah Maha Kaya, setiap perbuatan akan dibalas setimpal,” katanya di ruangan komentar kenyataan Mahathir itu.

Tidak kurang juga mempersoalkan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan mengenai ucapan takziah kepada keluarga pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin .

“Raja Petra meninggal dunia, tak kan tak ada ucapan takziah apa-apa ke?” soal seorang netizen pula.

BACA JUGA Selepas dirakam keterangan, ini penjelasan Teresa isu sijil halal