PM Anwar doakan roh RPK diberi keampunan
Perdana Menteri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang meninggal dunia di United Kingdom (UK) malam tadi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berduka dengan berita sedih itu berkata, beliau mendoakan roh Allahyarham diberi keampunan oleh Allah dan keluarganya diberi ketabahan serta tahap kecekalan yang tinggi.
“Takziah kepada keluarga blogger Raja Petra Kamarudin atau RPK yang dilaporkan telah dijemput ilahi malam tadi di Manchester, UK.
“Saya turut berduka dan mendoakan agar rohnya diberi keampunan oleh Allah dan keluarganya diberi ketabahan serta tahap kecekalan yang tinggi, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri menerusi Facebook, hari ini.
Raja Petra yang juga dikenali sebagai RPK meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK) pada usia 74 tahun.
Ahli kerabat diraja Selangor itu meninggal dunia disebabkan jangkitan dalam darah yang merebak ke paru-paru dan hati.