Raja Petra meninggal dunia di UK
Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia di United Kingdom (UK) malam tadi.
Memetik portal FMT, kematian ahli kerabat diraja Selangor itu disahkan oleh abangnya, Raja Idris.
“Dengan rasa dukacita, saya memaklumkan bahawa adik kesayangan saya, Raja Petra Kamarudin, baru sahaja meninggal dunia pada jam 11.26 malam waktu UK pada Isnin (9 September) di Manchester, UK,” katanya dalam teks ringkas kepada FMT.
Turut dikenali sebagai RPK, beliau yang dilahirkan pada 27 September 1950 pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) pada 2001 dan 2008.
RPK mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menerbitkan ulasan dan artikel mengenai politik Malaysia, yang sering menjadi kontroversi.
Raja Petra yang juga anakanda saudara kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sudah lama menetap di Manchester, UK.
Pada 2009, Raja Petra dilapor menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah melalui laman webnya.
Bagaimanapun pada Jun tahun lalu, beliau mendakwa kerajaan tidak membenarkannya pulang ke Malaysia dan bukannya pengecut seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Katanya, dia telah melakukan pelbagai cara untuk pulang ke Malaysia sejak 2013, termasuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Allahyarham juga pernah mendakwa turut mengadakan rundingan dengan dua menteri Kabinet serta Bukit Aman untuk membantunya pulang ke negara ini.
Dari segi pendidikan, Raja Petra mendapat pendidikan awal di Sekolah Alice Smith dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melengkapkan pendidikannya di Victoria Institution.
Beliau berkahwin dengan Marina Lee Abdullah pada 14 April 1973 dan mempunyai lima anak dan dua orang cucu.
BACA JUGA Kritikan bukti gagal hormati kepentingan isu halal