Video terakhir Raja Petra jadi tumpuan
Video terakhir penulis blog sensasi, Raja Petra Kamarudin yang dimuat naik dua hari sebelum beliau meninggal menjadi tumpuan pengguna media sosial.
Dalam hantaran di akaun Facebook Malaysia Today, Allahyarham mengupas titah Yang di-Pertuan Agong tentang penarikan balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum mahkamah.
Video tersebut meraih lebih 85,000 tontonan sejak berita pemergiannya.
Ruangan komen dibanjiri dengan ucapan takziah orang ramai.
Dalam kupasan terakhir itu, Raja Petra berkata, tindakan menarik balik gelaran yang dikurniakan adalah wajar dilaksanakan kerana mereka yang melakukan jenayah dan menerima hukuman, tidak layak memiliki gelaran terbabit.
“Kalau dipenjara, eloklah gelaran itu ditarik balik sebab awak diberi gelaran atau dianugerah dengan apa sahaja anugerah kerana jasa kepada negara dan bangsa.
“Tetapi apabila awak dah lakukan jenayah yang boleh dikatakan malu bagi status orang bergelar, awak tidak layak untuk terus diberi gelaran itu,” katanya.
Raja Petra meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK) pada usia 74 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pengendali laman web Malaysia Today itu.
Anwar yang turut berduka dengan berita sedih itu mendoakan roh Allahyarham diberi keampunan oleh Allah dan keluarganya diberi ketabahan serta tahap kecekalan yang tinggi.
Ahli kerabat diraja Selangor itu meninggal dunia disebabkan jangkitan dalam darah yang merebak ke paru-paru dan hati.
BACA JUGA Akibat mulut KJ, habis Hot FM kena serang