Kes salahguna RM232.5 juta: Nasib Muhyiddin di tangan Mahkamah Rayuan hari ini

Keputusan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyemak dapatan Mahkamah Rayuan, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya, akan diputuskan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Ia akan diputuskan oleh panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ini kerana empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.