BN berpeluang menang di Mahkota tapi dengan sokongan pengundi teras PH
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (gambar atas) berpendapat Barisan Nasional (BN) berisiko kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tanpa sokongan Pakatan Harapan (PH).
Beliau menjangkakan sokongan pengundi DAP khususnya etnik Cina kepada BN dalam PRK pada 28 September nanti akan terjejas jika ‘perang’ antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok tidak diurus dengan baik.
“BN berpeluang menang PRK Mahkota seperti jangkaan ramai tapi mesti dengan sokongan pengundi teras PH.
“Tanpa sokongan PH, BN berisiko terlepas Mahkota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, BN akan ditinggal bersendirian untuk bertarung dengan Perikatan Nasional PN) di segmen Melayu tanpa sokongan segmen PH-DAP terutamanya pemilih kaum Cina.
“Sedangkan data-data terakhir yang ada menunjukkan kekuatan BN/UMNO tidak begitu meyakinkan untuk menghadapi kekuatan PN secara bersendirian.
“Kena dengan strategi, PN berpotensi untuk mencuri mimpi indah UMNO di Mahkota, menafikan hipotesis banyak pihak bahawa BN akan menang mudah,” kata Mohd Yusri.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada parti-parti komponen PH benar-benar ingin memenangkan BN di Mahkota.
“Sejurus kerusi Mahkota kosong, Pemuda UMNO dan Pemuda AMANAH telah bertekak, meninggalkan luka agak dalam.
“Timbul tanda tanya besar, adakah AMANAH akan membantu memenangkan BN atau sebaliknya.
“Untuk rekod, AMANAH adalah parti yang menang Mahkota dalam PRU14 tahun 2018, mereka kalah dalam PRN 2022 apabila BN banyak dibantu aura Bossku Najib waktu itu,” katanya lagi.
Sebelum ini, BN mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon PRK DUN Mahkota.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Beliau memenangi kerusi itu pada PRN 2022 dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon PH, Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (PN) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Seramai 66,318 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRK DUN Mahkota dengan 55.03 peratus (36,497 pemilih) daripadanya merupakan pengundi Melayu manakala Cina 22,447 orang iaitu 33.85 peratus.
Daripada segi umur, sebanyak 51.30 peratus pengundi berusia dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun dan 17.28 peratus lagi dalam kumpulan pemilih berumur 40 hingga 49 tahun.
BACA JUGA Teruknya rayu Abuya ampunkan bukannya Allah, lagu syirik GISBH terbongkar