Pemuda AMANAH, UMNO berang kanak-kanak dianiaya, desak Global Ikhwan diharamkan

Pemuda AMANAH dan Pemuda UMNO tampil mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk didakwa dilakukan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) terhadap kanak-kanak di bawah jagaan syarikat amal itu.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh meminta kerajaan mengharamkan GISB serta menggempur setiap cawangan rumah amalnya susulan kanak-kanak dan remaja disyaki menjadi mangsa eksploitasi.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu mengenakan tindakan paling berat kepada pelakunya sekiranya benar penghuni rumah amal itu dididik dan diajar dengan cara meliwat.

“Jika benar ini berlaku maka kerajaan dah boleh haramkan pertubuhan ini dan hukuman yang paling berat perlu diberikan kepada si pelaku

“Mohon kepada mana-mana yang ada maklumat ataupun berada di dalam situasi yang sama tentang perkara yang menyesatkan sebegini untuk jangan takut maklumkan pada pihak berkuasa 

“Kita mohon juga pada pihak berkuasa untuk rempuh dan siasat di setiap cawangan mereka dan pastikan perkara ini tidak berlaku di tempat lain juga,” katanya sambil menyifatkan apa yang berlaku ketika ini bukan lagi ajaran Islam tetapi ajaran syaitan.

Sementara Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, Asim Abdullah Ainullotfi pula menuntut tindakan tegas memastikan setiap individu yang didapati bersalah dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

Beliau meminta pemantauan terhadap semua institusi penjagaan kanak-kanak dipertingkat untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

“Pemuda AMANAH terkejut dan marah dengan pendedahan bahawa kanak-kanak ini telah diajar dan dipaksa untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar hak asasi manusia. 

“Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi penjagaan tetapi juga mencabuli hak kanak-kanak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan sihat.

“Pemuda AMANAH menyeru masyarakat untuk bersama-sama mengutuk tindakan kejam ini dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita,” kata Asim.

Pemuda AMANAH dalam kenyataan, menawarkan sokongan kaunseling dan perubatan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Terdahulu kecoh apabila polis dilaporkan telah berjaya menyelamat 402 kanak-kanak dan remaja  dari 20 rumah amal kendalian kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Mengulas cara operasi kumpulan itu, selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

BACA JUGA Ramai ‘menyumpah’ kes kanak-kanak di Global Ikhwan diliwat, diajar liwat