Perdana Menteri sibuk pun masih sempat bersenam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan masa sibuknya dengan bersenam dan berjoging sekitar kawasan perumahan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Tambun itu menyeru agar rakyat Malaysia berusaha mengimbangi waktu kerja dan masa beraktiviti riadah serta bersenam.

Beliau berkata, langkah itu supaya rakyat negara ini lebih sihat dan sejahtera.

“Sempena bulan Malaysia Sihat, ayuh bersama tingkatkan kesedaran kesihatan dan mesti cakna mengenai kesihatan, terutama keburukan pengambilan gula secara berlebihan, termasuk makanan yang diproses dan yang mempunyai kandungan gula tambahan yang berlebihan. 

“Saya gesa rakyat Malaysia untuk berusaha imbangi waktu kerja dan masa untuk aktiviti riadah dan senaman agar hidup kita lebih sihat dan sejahtera,” katanya.

Anwar sebelum ini ketika merasmikan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera mengingatkan rakyat untuk mengambil serius penjagaan kesihatan, terutama berkaitan keburukan pengambilan gula secara berlebihan.

Ini kerana, bilangan penghidap kencing manis atau diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menggambarkan kecelikan kesihatan dalam kalangan rakyat di negara ini masih pada tahap rendah.

Perdana Menteri juga berkata kempen celik kesihatan atau kurangkan gula serta dasar literasi kesihatan yang diperkenalkan, hanya akan berkesan sekiranya masyarakat mengubah gaya pemakanan mereka bermula dari sekarang.

Beliau berkata rakyat tidak harus memudaratkan diri sendiri dengan mengambil gula secara berlebihan, tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan mereka.

BACA JUGA Kenapa pelaburan diumum MITI dan DOSM tak sama? Ini penjelasan RafiziÂ