Teruknya rayu Abuya ampunkan bukannya Allah, lagu syirik GISBH terbongkar

Begitu teruk dan berbahaya kepada akidah apabila sebuah lagu yang didakwa masih digunakan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) merayu-rayu agar ‘Abuya’ mengampunkan dan menyelamatkan mereka.

Lagu syirik yang hanya berada di tangan pemimpin-pemimpin GISBH sahaja itu dibongkarkan Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia menerusi hantaran di Facebook malam ini.

“Ahli-ahli biasa tidak dibenarkan menyimpan lagu ini kecuali hanya untuk didengari sahaja,” katanya.

Menurut Pukas Malaysia, lagu yang menyamakan pengasas pertubuhan Al-Arqam, Abuya Asaari Muhammad dengan tuhan itu digunakan untuk proses indoktrinasi ahli di pusat kuarantin.

“Abuya ampunkan kami… Abuya tolonglah kami.. Abuya selamatkan kami… Abuya terimalah kami,” demikian antara lirik yang diulang-ulang dalam lagu ‘cuci otak’ itu.

Saksi memberitahu Pukas Malaysia bahawa lagu tersebut akan diperdengarkan berulang-ulang kepada ahli yang dikuarantin pada sebelah malam di bilik yang sempit.

“Anda bayangkan pusat kuarantin GISBH itu akan disediakan bilik sempit dan sebuah televisyen.

“Ahli GISBH yang menjalani kuarantin akan ditempatkan di sesuatu tempat dalam tempoh 3 hingga 6 bulan (mengikut keadaan).

“Makanan harian mereka ialah nasi dengan garam dan kalau beruntung akan dapat lauk sikit-sikit.

“Dalam tempoh itu mereka dilarang bercakap dengan sesiapa kecuali dengan Pengarah Zon.

“Sebelah pagi, mereka kena baca Aurad Muhammadiah 10 kali pusingan. Setelah itu, mereka perlu menatap wajah pemimpin GISBH di kaca tv.

“Dihidangkan video celoteh dan bebelan pemimpin mereka untuk indoktrinasi ahli,” menurut Pukas Malaysia memetik sumber dari saksi.

Tambahnya, ahli yang dikuarantinkan itu akibatnya berhalusinasi atau bermimpi bertemu dengan Abuya atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Akhirnya, doa mereka ialah meminta kepada Abuya, bukan lagi kepada Allah.

“Semua perkara indoktrinasi ini adalah sirr (rahsia) dan tidak boleh kongsikan kepada orang luar Jemaah,” kata Pukas Malaysia.

Sehubungan itu, gerakan tersebut menyeru agar mereka diselamatkan daripada tenggelam dalam kesesatan.

Pemimpin mereka,jelasnya, telah memiliki pengalaman panjang dengan pihak penguatkuasa dan undang-undang sehingga tahu selok -belok untuk bertaqiyyah (berbohong, berpura-pura).

“Ya Allah, Kamu selamatkanlah mereka dan berikan hidayah-Mu kepada mereka,” doa Pukas Malaysia lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata operasi GISB bermula selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam sidang media ‘Op Global’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan itu, beliau berkata, selepas pengharaman Darul Arqam, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation.

Ia kemudiannya disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

BACA JUGA Tular ‘lagu sesat GISB’, Abuya dianggap utusan Tuhan

Â