Dr Maza perjelas bagaimana Perlis jadi pemula dedah isu GISB

Dr Maza mendedahkan bagaimana negeri paling utara di Semenanjung itu memulakan isu membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) sehingga menjadi isu di peringkat nasional.

Menerusi rakaman video dikongsikan di saluran YouTube rasmi beliau, Mufti Perlis berkenaan berkata, isu GISB mula dibangkitkan apabila terdapat kumpulan yang membuat kajian tentang kes membabitkan syarikat perniagaan itu bertemu beberapa pihak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, kata Dr Maza atau nama sebenarnya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tidak ada mana-mana pihak yang mengambil tindakan terhadap GISB yang terpalit dengan ajaran sesat dan eksploitasi tenaga kerja kanak-kanak itu.

“Sebahagian ahli-ahli jawatankuasa fatwa ketika mendengar isu (GISB) semasa pembentangan (dari kumpulan yang membuat kajian), dari mulanya mendengar duduk di kerusi, bangun berdiri kerana merasakan begitu panas isu ini,” katanya dalam video yang sudah ditonton lebih 62,000 tontonan dalam tempoh 14 jam dimuat naik di YouTube.

Jelasnya, isu itu tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa perkara termasuk sebahagian pihak enggan mengambil risiko selain mungkin ada individu yang tidak mempunyai jiwa besar untuk menyelesaikan isu terbabit.

“Mungkin sebahagian kepercayaan kumpulan (GISB) ini ada pada individu terbabit dan mungkin juga atas sebab musabab yang lain,” katanya sambil memberitahu wujudnya amalan tidak solat Jumaat, menjamakkan solat sepanjang waktu selain darah bekam dan bulu pada anggota tubuh dijadikan sebagai ‘keberkatan’.

Menurut Dr Maza dalam siri kuliah mingguan di Masjid Alwi, Kangar itu, kumpulan yang sudah bertahun-tahun membuat kajian mengenai GISB telah mengambil langkah dengan membawa kes tersebut untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa soalan daripada wartawan sebelum ini yang bertanya kepadanya bagaimana Perlis memulakan isu GISB sehingga menjadi isu di peringkat nasional.

Dalam hal berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan terdapat 13 budak lelaki berusia belasan tahun yang menginap di rumah amal dikendalikan GISB memiliki rekod pernah diliwat.

Satu kumpulan Facebook yang menamakan mereka sebagai Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia pula dari semasa ke semasa mendedahkan pelbagai bukti yang menunjukkan GISB terbabit dalam penyelewengan akidah Islam.

Antaranya, lagu yang menyebut tentang Abuya Asaari sebagai utusan Tuhan serta lagu yang merayu agar pengasas Al-Arqam itu mengampunkan dan menyelamatkan mereka.

BACA JUGA KPN sahkan 13 budak lelaki di rumah amal GISB pernah diliwat