GISB terus jadi buah mulut, senarai segala anak syarikat ‘Abuya’ turut tersebar
GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dilihat terus menjadi buah mulut sehingga muncul sohor kini (trending) di gelanggang perdebatan warganet.
Setakat 7.45 pagi ini, netizen yang menyebut tentang syarikat yang dipalit dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa itu diperkatakan dalam lebih 70,600 hantaran di platform X.
Selain komentar yang mengecam dakwaan bahawa syarikat itu terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja, ada juga yang memuji GISB maju dalam mengembangkan perniagaan.
Namun, reaksi simpati berbaur kagum itu dipatahkan memandangkan syarikat itu mengeksploitasi agama dan mengamalkan ciri ajaran sesat serta memperalat kanak-kanak untuk tujuan membina kekayaan.
Antaranya, pengguna X, @neddokhan yang menyeru orang ramai untuk berhenti daripada memuji GISB kononnya maju dalam perniagaan.
“Dah boleh berhenti kot cakap GISB ni walaupun ajaran sesat tapi meniaga hebat.
“Kalau dia luaskan perniagaan dia dengan cara eksploitasi pekerja dan pakai kabel, tu bukan power namanya.
“Takde apa yang powernya GISB ni. Berhenti memberi mereka sebarang pujian,” katanya.
Menurut gerakan Scam No One, kilang-kilang milik GISB terlibat dalam ekonomi perhambaan apabila mengambil kanak-kanak sebagai pekerja manakala pemimpin tertinggi pula hidup seperti kayangan.
“Pada usia 2 hingga 12 tahun, anak-anak ditempatkan di rumah amal untuk proses doktrinasi. Seawal usia 13 hingga 15 tahun, mereka ditempatkan di kilang-kilang perusahan yang terlindung dari mata awam.
“Selepas usia 15 tahun, barulah ditempatkan di kedai-kedai milik GISB. Cukup jelas dan terang, GISB amalkan ekonomi scam melalui sistem perhambaan,” menurut Scam No One lagi.
Dalam masa sama, ada turut menyebarkan senarai anak-anak syarikat ‘Abuya’ sekaligus mengejutkan banyak pihak kerana bidang bisnes yang pelbagai.
Bukan sahaja Restoran Ikhwan dan Pasar Raya Ikhwan, GISB juga mempunyai Global Ikhwan Resort, Ikhwan Pharmacy, Ikhwan Industry dan Ayyam Fateh.
“Memang power la kalau semua staf pun kerahan tidak berbayar. Budak-budak pun kena kerja kilang roti,” sindir @SyarelAida pula.
Selain itu, ada yang berpendapat senarai bisnes kumpulan pemuja pengasas pertubuhan Al-Arqam, Abuya Asaari Muhammad tersebut perlu diketahui orang ramai bagi tujuan boikot.
“Bukan nak bagi kredit tapi nak uar-uarkan supaya boikot bisnes mereka. Padan muka,” kata netizen lagi.
Terdahulu, GISB dalam kenyataannya menafikan dakwaan bahawa syarikat itu terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Reaksi kumpulan yang dikenali dengan imej bersongkok hitam tinggi itu susulan serbuan polis pada jam 6 hingga 11 pagi pada 11 September lalu di 20 premis berupa pusat jagaan dan rumah amal kendalian GISB.
Hasil serbuan dalam Op Global di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun berjaya diselamatkan.
Seramai 171 individu yang mengendalikan premis terbabit juga ditahan polis untuk siasatan lanjut.
BACA JUGA Teruknya rayu Abuya ampunkan bukannya Allah, lagu syirik GISBH terbongkar