Ramai dakwa restoran milik GISB terasa aneh, macam ada tak kena
Restoran dikendalikan Global Ikhwan Services & Business Berhad (GISB) Holdings menjadi perbincangan hangat pengguna media sosial sejak tersebarnya dakwaan ia mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Beberapa pelanggan yang mendakwa pernah makan di restoran kendalian syarikat itu, mengakui persekitaran kedai terasa aneh dengan tingkah laku pelanggan yang agak pelik.
Mereka memuji standard kebersihan restoran yang sangat terjaga, namun tidak dapat mengelak dari perasaan aneh dan rasa “tidak beres” dengan persekitaran restoran.
“Saya mengaku pernah makan di kafe GISB di Seremban. Masuk kedai saya ada rasa macam pelik suasana. Rasa ada je yang tak kena, tertanya-tanya ni biar betul dekat Malaysia.
“Pada mulanya rasa bersih tempat ini standard tinggi. Selepas itu tengok gelagat pelanggan lain, macam bukan orang betul, macam disconnect dari dunia sebenar
“Bila keluar semua cerita, saya pun rasa “patutlah!”, kata seorang pengguna Facebook bernama Hazwan Hassan.
Ternyata, perkongsiannya turut dipersetujui beberapa individu yang pernah ke restoran milik GISB.
Mereka mendakwa ada yang tidak kena pada pekerja restoran, selain bersetuju bahawa pelanggan dan kakitangan juga seolah-olah berada di dunia luar.
“Bab disconnect dari dunia luar tu betul. Kami pun pernah makan, yelah konon nak support Melayu. Bukan suasana je disconnect, muka dia orang semua macam tak ada nikmat kehidupan,” kata Nur Afiqah.
“For some reason… Saya tak pernah pi makan dekat kedai depa walau selalu nampak. Dia macam satu perasaan ‘not inviting’. Ya, dia rasa mcm ada tak kena dalam tu,” kata Mohd Huzaifah.
“Ohh. Saya ingatkan saya seorang je rasa yang sama. Sebelum isu-isu panas ni timbul dan tak sangka pun hal ni jadi, memang rasa pelik bila masuk kedai dia orang. Naluri hati kita tu tak sama macam kita pi kedai biasa. Tak tahu nak cakap macam mana tapi rasa pelik sedangkan waktu tu saya tak tahu apa-apa pun isu pelik berkait diaorang,” luah pula Chedan Nasi Kukus.
GISBH muncul selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selepas pengharaman Darul Arqam, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.
Untuk rekod, polis dilaporkan telah menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan
Kanak-kanak di rumah amal tersebut didakwa telah diliwat penjaga, dan diajar untuk meliwat rakan penghuni yang lain.
GISB dalam satu kenyataan balas pula menafikan segala tohmahan bahawa syarikat itu terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja
Syarikat itu turut menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang, khususnya membabitkan kanak-kanak sebagai pekerja.
Bagaimanapun awal pagi ini polis mengesahkan 13 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global itu disyaki telah diliwat.
Hasil itu diperoleh berdasarkan saringan perubatan yang dijalankan terhadap kesemua 13 mangsa.
BACA JUGA Selepas disaman, Tun Faisal mohon maaf tuduh Aliff Ahmad scammer